Monday, December 15, 2008

Mendidik Kanak-Kanak Berdasarkan Nasihat Luqmanul Hakim : Buat Ibu Bapa & Pendidik

Kanak-kanak adalah amanah Allah taala kepada ibu bapa dan pendidiknya. Ia menjadi amanah kerana ibu bapa dan para pendidik bertanggungjawab untuk merealisasikan tujuan Allah taala melahirkan seorang anak di muka bumi ini.
Setiap anak yang dilahirkan di muka bumi adalah untuk mencapai maksud dari firman Allah taala yang bermaksud

“Dan tidaklah Aku mencipta jin dan manusia kecuali untuk beribadah padaKu” (Az-Zariyat : 56)
“Dan apabila Allah berfirman kepada para malaikat sesungguhnya aku akan menjadikan di atas bumi seorang khalifah” (Al-Baqarah : 30)

Dari kedua ayat ini kita boleh memahami bahawa seseorang anak dilahirkan agar ia apabila mencapai usia baligh dapat beribadah kepada Allah taala dan memainkan peranan sebagai khalifah di muka bumi ini, iaitu memakmurkan dunia dengan agama Allah taala.
Ertinya setiap anak adalah Khalifah Muda yang akan menjadi Khalifah sempurna apabila dewasa kelak dan ibu bapa dan para pendidik bagi setiap anak-anak memikul tanggungjawab untuk memastikannya.

Bagi membantu ibu bapa dan para pendidik memainkan peranan mendidik Khalifah Muda ini, Allah taala menggariskan panduan dan bimbingan dalam Al-Quran. Antara sekian banyak panduan dan bimbingan yang ada ialah firman Allah taala dalam surah Luqman.
Allah taala berfirman yang bermaksud

“Dan apabila Luqman berkata kepada anaknya sedang ia menasihatinya ‘Wahai anakku, janganlah mensyirikkan Allah. Sesungguhnya Syirik itu adalah satiu kezaliman yang besar.” (Luqman : 13)

Ayat ini mengajar para ibu bapa dan para pendidik bahawa yang pertama sekali yang harus dididik terhadap kanak-kanak ialah agar tidak mensyirikkan Allah taala.
Kanak-anak dididik untuk tidak mensyirikkan Allah taala dengan mengenalkannya sejak dari kecil lagi akan Allah taala. Ini dilakukan dengan menanam bibit aqidah yang betul terhadap Allah taala.

Oleh sebab itulah seorang bapa dianjurkan oleh Islam untuk mengazan dan mengiqamahkan bayi sejurus sahaja ia lahir agar perkara pertama yang ia dengar ialah nama Allah taala. Bahkan sebelum ia mengenali ibu bapanya hendaklah ia mengenali Allah taala.

Allah taala berfirman yang bermaksud
“Dan Kami mewasiatkan kepada manusia agar berlaku baik terhadap ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan kepayahan atas kepayahan dan menyusukannya selama dua tahun. Maka hendaklah kau bersyukur kepadaKu dan dan kedua ibu bapa kau. KepadaKu tempat kembali. Dan jika kedua ibu bapa mendorong kau untuk mensyirikkanKu dengan apa yang kau tidak mempunyai pengetahuan, maka janganlah mentaati mereka berdua. Dan pergauli mereka di dunia dengan baik dan ikutilah jalan orang yang kembali padaKu kemudian kepadaKu tempat kembali kamu maka akan Aku beritahu kamu akan apa yang kamu lakukan.” (Luqman : 14 – 15)

Ayat ini mengajar ibu bapa dan para pendidik bahawa setelah seorang anak itu dikenalkan kepada Tuhannya maka ia perlulah dikenalkan kepada ibu bapanya. Agar dengan mengenal ibu bapanya dengan sebenar-benar akan menimbulkan rasa kasih sayang dan dorongan untuk berbakti kepada mereka.

Setelah anak-anak dikenalkan kepada Allah taala dan ibu bapanya, maka perlulah ditanam rasa syukur terhadap mereka kerana Allah taala berfirman “dan hendaklah engkau bersyukur padaKu dan kedua ibu bapamu”.

Syukur pula seharusnya dibuktikan dengan ketaatan terhadap segala perintah dan suruhan Allah taala dan ibu bapa.

Ini membuktikan bahawa kenal sahaja tidak mencukupi jika ia tidak menimbulkan syukur yang mendorong untuk taat kerana Iblis itu lebih mengenali Allah taala. Iblis dimurkai oleh Allah taala kerana ia tidak bersyukur bukan kerana ia tidak mengenali Allah taala.

Ibu bapa dan para pendidik juga haruslah berani untuk mendidik anak-anak untuk lebih mencintai Allah taala dari diri mereka sendiri sehingga sekiranya mereka melakukan kesilapan atau mendorong anak-anak mereka terhadap kemungkaran maka anak-anak itu tahu untuk tidak mentaati mereka.

Untuk itu, ibu bapa dan para pendidik haruslah membekalkan anak-anak mereka dengan ilmu-ilmu yang membolehkan ia mengetahui apakah perintah-perintah Allah taala yang tidak boleh ia langgar dan bilakah ia perlu membelakangkan perintah ibu bapa mereka.

Hari ini ilmu-ilmu ini dikenali sebagai ilmu-ilmu ukhrawi. Maka sebab itu wajib bagi ibu bapa dan para pendidik turut berperanan memastikan kanak-kanak memperolehi pendidikan ukhrawi secukupnya. Perlulah diingat bahawa ilmu-ilmu ini bukan hanya setakat pada ilmu mengaji sahaja tetapi ia meliputi ilmu aqidah dan segala aspek ilmu fiqh yang bersifat fardu ain.
Firman Allah taala “dan ikutlah jalan orang yang kembali kepadaKu” mengajar para ibu bapa dan para pendidik bahawa mereka haruslah memastikan ikutan (role model) yang betul bagi seorang kanak-kanak samada ikutan itu berupa teman-teman mereka ataupujaan-pujaan yang lain. Hari ini sudah terbukti bagaimana besarnya faktor rakan dan role model dalam mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak.

Rasulullah telah mengingatkan hakikat ini dalam haditsnya
“Seseorang itu tertakluk pada agama rakannya. Maka hendaklah setiap kamu melihat siapakah rakannya”(Riwayat Abu Daud, At-Turmuzi dan Al-Hakim)
Selain dari itu, wajib bagi ibu bapa menanamkan aqidah terhadap kewujudan hari akhirat dan pembalasan. Ini dapat dilihat pada firman Allah taala yang bermaksud

“kepadaKu tempat kembali” dan “kemudian kepada Aku tempat kembali kamu maka Aku memberitahu pada kamu dengan apa yang kamu lakukan” dan diperkuatkan lagi dengan firman Allah taala yang bermaksud

“(Luqman berkata) Hai anakku sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasnya).

Sesunguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.”(Luqman : 16)
Kepentingan menanam aqidah terhadap kewujudan hari akhirat dan pembalasan kerana ia memberi tujuan bagi setiap amal yang perlu dilakukan oleh seorang Khalifah Muda. Dengan keimanan pada akhirat dan hisab, seorang itu tahu mengapa ia melakukan segala amal-amal yang kadangkala menyulitkan dirinya, iaitu ia akan diberi ganjaran pahala sehingga dapat menikmati syurga Allah taala. Dengan keyakinan ini ia akan lebih mampu untuk sabar menghadapi kesulitan dan beristiqamah dengannya.

Allah taala berfirman yang bermaksud
“Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah dari perbuatan yang munkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” (Luqman : 17)

Setelah kanak-kanak dididik dengan asas-asas aqidah, ia hendaklah pula dilatih dan dididik untuk beramal. Antara amal-amal yang perlu dilaksanakan ialah solat. Tentunya solat bukanlah satu-satunya amal yang perlu ditunaikan tetapi solat dinyatakan dalam ayat 17 tadi sebagai simbol bagi amal-amal yang lain kerana solat adalah amal yang paling penting di antara amal-amal lain.

Solat adalah tiang agama. Solat adalah penghubung antara si Khalifah Muda dan Tuhannya yang telah ia kenali. Solat adalah pendinding dari segala kemungkaran.
Ibu bapa dan para pendidik juga dituntut oleh Allah taala untuk mendidik kanak-kanak selaku Khalifah Muda untuk melaksanakan amr ma’ruf dan nahi munkar; menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran.